PPPB hanya urus permit pasir di Pekan, Rompin

KUANTAN – Perbadanan Pasir Pahang Berhad (PPPB) ditubuhkan bagi menguruskan pengeluaran permit konsesi pasir di Pekan dan Rompin sahaja serta bukan bertujuan untuk memonopoli kegiatan perlombongan pasir di negeri ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, dakwaan bahawa ada pengusaha pasir yang sukar memperbaharui permit adalah tidak tepat.

“Banyak perkara yang perlu diteliti dan dibincangkan. PPPB yang ditubuhkan akan menguruskan permit pasir tapi setelah dibincangkan secara lanjut pengeluaran itu (permit pasir) hanya di Pekan dan Rompin.

“Pengeluaran permit pasir tidak melibatkan daerah lain dan sini mungkin ada kekeliruan mengenai isu ini,” katanya pada Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang hari ini.

Beliau berkata demikian semasa menjawab soalan tambahan Leong Yu Man (PH-Triang) yang memohon penjelasan mengenai dakwaan pengusaha pasir berdepan masalah untuk memperbaharui permit mereka.

Menurutnya, setakat ini tiada sebarang masalah yang dihadapi pengusaha jika mereka mahu memperbaharui permit.

“Sepengetahuan saya tiada masalah ini berlaku seperti yang didakwa,” katanya

Beliau sebelum itu memaklumkan, sebanyak 20 pengusaha yang diberikan lesen operasi pasir dan masih aktif melakukan aktiviti tersebut di daerah Bentong.

pppbadmin
pppbadmin
Articles: 15