Perlombongan pasir beri manfaat kepada penduduk Pekan

KUANTAN, 27 OGOS 2020 : Kerja-kerja perlombongan pasir yang ditadbir urus oleh Pengurusan Pasir Pahang Berhad (PPPB) dapat memberikan pelbagai manfaat kepada penduduk di Daerah Pekan khususnya di kawasan terlibat. 

Ketua Pegawai Eksekutif PPPB, Leftenan Kolonel (B) Dato’Haji Nor Hashim Abdul Aziz berkata, manfaat ini diperoleh menerusi kerja-kerja mendalamkan dasar 

sungai di Tanjung Agas sekali gus dapat mengelakkan kejadian banjir di daerah Pekan. 

Beliau berkata, kesemua kerja perombongan itu juga hanya dilaksanakan selepas kajian hidrografik dibuat bertujuan untuk menilai dari segi teknikal sama ada kerja- kerja perlombongan boleh dilaksanakan atau pun tidak. 

“Semua kerja-kerja yang dijalankan di kawasan ini, kita membuat kajian terlebih dahulu seperti kajian hidrografik dan juga kesan terhadap alam sekitar.

“Jadi sebelum kita mengenalpasti kawasan-kawasan untuk didalamkan atau pun dilombong, kita pastikan dulu perkara ini dibincangkan dalam jawatankuasa teknikal, ” katanya. 

Beliau berkata demikian sebagai kenyataan balas terhadap laporan Utusan Malaysia bertarikh 24 dan 26 Ogos 2020 yang mendakwa seramai 16,000 penduduk terjejas akibat kerja-kerja perlombongan pasir di Tanjung Agas, Pekan. 

Beliau berkata, jawatankuasa teknikal tersebut terdiri daripada pelbagai agensi termasuklah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), Jabatan Laut Malaysia, Pejabat Tanah dan Daerah Pekan dan Jabatan Kerja Raya (JKR). 

Justeru katanya, segala kerja perlombongan dijalankan di kawasan Tanjung Agas adalah mematuhi perundangan, peraturan dan syarat yang ditetapkan oleh Pihak Berkuasa Negeri dan Persekutuan. 

Kajian tersebut juga dibuat bagi memastikan ketepatan kerja pendalaman sungai supaya aliran sungai dapat berjalan dengan lancar sekali gus memberikan kemudahan kepada nelayan. 

PPPB juga melaksanakan kajian kesan terhadap alam sekitar bagi keseluruhan kawasan untuk mengelakkan kerosakan kepada ekosistem dan hakisan sungai. 

Menjawab rungutan berhubung gangguan bunyi yang dialami penduduk sekitar, beliau berkata, PPPB akan melakukan penempatan semula bagi mesin-mesin dan peralatan yang digunakan bagi kerja perlombongan ke lokasi yang lebih sesuai dan jauh dari penduduk seperti di pulau-pulau yang berada di tengah sungai. 

“Oleh yang demikian kita telah pun membuat kajian dan akan membuat penempatan semula kepada mesin-mesin dan jentera ini ke tempat yang lebih jauh umpamanya di pulau-pulau di tengah sungai supaya kesan bunyi bising dan juga pencemaran asap daripada mesin-mesin ini dapat dikurangkan,” katanya. 

Ekoran rungutan daripada nelayan yang mendakwa terjejas akibat kerja-kerja perlombongan ini, beliau berkata, sejak Mei 2019 PPPB telah mewujudkan tabung Corporate Social Responsibility (CSR) kepada 414 nelayan tempatan sebanyak RM500 setiap bulan. 

Pihak Kualiti Operasi PPPB juga kerap melakukan pemantauan berterusan bagi mengesan sebarang hakisan sungai akibat aktiviti perlombongan itu supaya tindakan membaik pulih dapat segera dijalankan. – PAHANGMEDIA 

pppbadmin
pppbadmin
Articles: 15

Leave a Reply

Alamat e-mel anda tidak akan disiarkan. Medan diperlukan ditanda dengan *